Menjadi Usahawan Berjaya Dengan Berzakat

Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

Laki-laki yang tidak dilalaikan oleh perniagaan dan tidak pula oleh jual beli daripada mengingati Allah, dan mendirikan sembahyang, dan membayar zakat. Mereka takutkan kepada hari itu (hari kiamat) yang mana padanya hati dan pandangan akan menjadi gusar.– Surah Al-Baqarah: 43.

Islam memberi galakan kepada umatnya agar menjadi insan yang berjaya dan cemerlang di dalam apa jua bidang yang diceburinya, tetapi tidak sesekali mereka meninggalkan ibadahnya kepada Allah S.W.T. Antara bidang yang ingin dibicarakan di sini ialah bidang perniagaan.

Ramai manusia memperolehi pendapatan yang lumayan hasil daripada mereka berniaga, ada yang menjadi kaya raya apabila perniagaan mereka maju dan berkembang biak sehingga pasarannya merentasi sempadan antarabangsa.

Malah, baginda Rasulullah S.A.W sendiri adalah seorang tokoh usahawan yang berjaya di dalam perniagaannya. Baginda dikagumi oleh ramai pihak dan disegani dengan keadilan serta kebijaksanaannnya dalam menguruskan perniagaan Sayyidatina Khadijah binti Khuwailid Radhiallahu ‘Anha (seorang ahli perniagaan yang kaya raya).

Begitu juga dengan para sahabat Baginda S.A.W yang lain. Antaranya Sayyidina Abdul Rahman bin ‘Auf Radhiallahu ‘Anhu. Beliau adalah di antara sahabat Baginda yang kaya raya. Tetapi demi menegakkan agama islam, beliau sanggup membelanjakan seluruh harta kekayaannya itu ke jalan Allah (Fi sabilillah).

Ramai lagi usahawan dikalangan para sahabat dan tabi’en yang telah berjaya di dalam perniagaan mereka. Namun mereka tidak lupa untuk menginfaqkan harta mereka ke jalan Allah S.W.T samada dengan bersedekah ataupun berzakat.

Perniagaan dan keusahawan adalah nadi kepada pembangunan negara. Di mana islam juga telah memberi garis panduan yang lengkap bagaimana untuk menjadi usahawan yang berjaya, dan mentadbir ekonomi serta membangunkan negara dengan lebih maju.

Islam tidak melarang umatnya untuk bekerja, berniaga, mengumpul kekayaan, menjadi usahawan yang berjaya dan sebagainya. Malah Rasulullah S.A.W sendiri menyuruh para sahabatnya berniaga kerana beliau pernah bersabda bahawa, sembilan daripada sepuluh punca rezeki itu adalah datangnya daripada perniagaan.

Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

“ Dan katakanlah (Wahai Muhammad): Bekerjalah kamu, maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang mu’min akan melihat pekerjaanmu.” – Surah At-Taubah: 105.

Kesimpulan daripada terjemahan ayat di atas bahawa, Islam menyuruh umatnya agar bekerja (berusaha) mencari rezeki yang halal. Untuk menjalani kehidupan yang lebih sempurna, manusia harus bekerja dan berusaha untuk mendapatkan mata pencarian bagi menyara hidupnya.  Malah ia juga adalah suatu perintah daripada Allah S.W.T. Setiap perintah Allah S.W.T itu menjadi ibadah dan ada ganjarannya.

Islam juga memberi berbagai-bagai kemudahan hidup dan jalan untuk mendapatkan rezeki yang halal di bumi Allah S.W.T samada dengan bekerja untuk mendapatkan upah setiap bulan atau berniaga dengan memperolehi keuntungan secara langsung. Oleh yang demikian, Islam mencela umatnya mencari rezeki yang haram atau menjalani suatu pekerjaan dengan cara yang tidak syar’ie.

Justeru, zakat adalah penyelamat bagi umatnya agar tidak terjebat dengan hasil kerja yang haram. Dengan berzakat, manusia akan terdorong untuk meraih pendapatan daripada sumber yang bersih dan halal kerana harta yang haram itu tidak boleh dizakatkan.

Zakat menjadi benteng kepada harta daripada kebinasaan. Selain memperolehi keberkatan, ganjaran berlipat ganda, rezeki juga akan bertambah dan perniagaan berkembang dengan lebih maju dan cemerlang.

Oleh itu, jadilah usahawan yang berjaya dan cemerlang dengan tidak melupakan tuntutan dan kewajipan berzakat kerana ia menjamin kesejahteraan hidup yang lebih sempurna dan mendapat ganjaran pahala yang berlipat ganda daripada Allah S.W.T.



USTAZ MOHD AMIRUL BIN KAMARUDIN
Atarek Kamil Ibrahim & Co.
(Ejen Kutipan Zakat PPZ-MAIWP)

Wangsa Maju - 29 Julai 2010

0 Response to "Menjadi Usahawan Berjaya Dengan Berzakat"

Post a Comment